Sunday, December 19, 2010

Duhai syabab..

Kemakmuran negara yang dikecapi hari ini merupakan nikmat terbesar kurniaan Tuhan yang patut disyukuri. Namun tidak dinafikan usaha yang dimainkan dalam membangunkan negara juga merupakan faktor kejayaan, kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara. Justeru, kehebatan pimpinan hari ini sewajarnya dicontohi oleh golongan remaja yang merupakan pewaris serta pelapis tampuk kepimpinan di masa akan datang. Sebagai persediaan ke arah membangunkan negara bagi generasi akan datang, maka peranan serta tanggungjawab perlulah dipupuk dan disemai mulai dari sekarang sama ada dari sudut intelektual, emosi, sosial serta rohaninya. Natijah dari gabungan keseimbangan semua ini akan menghasilkan remaja yang seimbang serta mampu mendepani berbagai cabaran dalam membangunkan negara suatu hari nanti.
Namun kita seringkali dikejutkan dengan paparan berita keruntuhan akhlak dan gejala sosial remaja yang makin hari makin berleluasa. Pergaulan bebas, pembuangan bayi, pencabulan, penagihan dadah dan sebagainya menunjukkan berlakunya kepincangan dalaman remaja. Fokus perbincangan di sini adalah penyalahgunaan dadah. Peningkatan masalah ini saban tahun membimbangkan dan isu ini menimbulkan beberapa persoalan, di antaranya apakah punca sebenar yang mendorong kepada berlakunya penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja. Masalah penagihan dadah tidak boleh dipandang ringan, Ini kerana sejumlah besar daripada penagih di Malaysia terdiri dari golongan remaja dan belia (Samsuddin A.Rahim 2007). Merujuk kepada perangkaan yang dinyatakan oleh “Abd Bakir Zin selaku Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), jumlah penagih dadah sehingga tahun 2010 mencatat 40,247 orang. Ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2008 iaitu seramai 12,500”. (mstar online,12 februari 2010). Lebih malang lagi apabila bilangan remaja yang terlibat dalam penagihan dadah juga mencatatkan angka yang tinggi. Justeru, langkah-langkah sewajarnya perlu diambil bagi membendung masalah ini dari terus berleluasa.

Terdapat beberapa faktor yang seringkali dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja. Di antara faktor dominan yang sering diutarakan dalam mana-mana perbincangan akademik adalah keluarga dan rakan sebaya. Faktor-faktor tersebut dikatakan pendorong dan penyebab utama remaja bertindak untuk mengambil dadah.

Betapa peranan ibu bapa dalam keluarga sangat penting. Ini kerana usaha awal dalam mendidik generasi muda adalah bermula dari rumah. Disini ingin disarankan agar Islam di ambil sebagai pendekatan dalam menangani permasalahan dadah yang saban tahun kian meruncing.
Jika dianalisa dari perspektif Islam, ibu bapa sangat berperanan dalam memupuk kasih sayang terhadap anak-anak. Ini kerana Baginda SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, bahawa “tidak akan dikasihi barang siapa yang tidak mengasihi”. Justeru, kasih sayang penting untuk mengelakkan gejala sosial. Anak-anak yang dikasihi dan mendapat perhatian ibu bapa tidak akan sanggup menghampakan dan memusnahkan harapan orang tuanya dengan melakukan perbuatan menagih dadah. Sebagaimana pernyataan Amir Mohd Nor & Zambri Kambari, (2005) yang menyatakan bahawa memperkukuh serta mencurahkan kasih sayang antara anak-anak secara adil juga boleh menjadi benteng kepada anak-anak remaja daripada terpengaruh dengan gejala tidak sihat.
Ibu bapa juga bertanggungjawab mentarbiah anak-anak. Anak-anak dilahirkan dalam keadaan yang suci bersih daripada dosa, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkannya. Anak-anak itu amanah Allah, maka setiap amanah yang diberikan akan disoal kelak. Ibu bapa bertanggungjawab memberikan didikan agama secukupnya meliputi Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah kepada anak-anak. Anak-anak yang pegangan akidahnya mantap tidak mudah terjebak ke dalam kancah penagihan dadah. Ini kerana mereka tahu bahawa mereka wajib menjaga diri mereka daripada perkara-perkara yang merosakkan diri, mereka juga tahu bahawa mengambil dadah haram disisi Islam. Mereka tidak akan sekali-kali mengambil dadah kerana ianya adalah larangan Allah. Keyakinan terhadap adanya hari pembalasan, syurga dan neraka menambahkan ketaatan mereka kepada Allah dan menjauhi segala laranganNYA.
Selain daripada itu, Islam juga telah menggariskan perkara ibadah dan perkara maksiat. Oleh itu, menjadi tugas ibu bapa untuk mengajar anak-anak tentang apa yang dikatakan ibadah dan apa yang dikatakan maksiat supaya anak dapat membezakan adakah dadah itu suatu perkara ibadah atau perkara maksiat kepada Allah. Natijahnya anak-anak mampu membezakan di antara perkara yang baik dengan perkara yang buruk serta menjauhinya.
Pendekatan Islam juga mengajar ummatnya untuk mendekatkan diri kepada Allah sebagai jalan penyelesaian sebarang masalah yang dihadapi. Sebaik-baik tempat pengharapan dan tempat memohon pertolongan adalah hanya kepada Alah. Jadi, anak remaja yang didedahkan dengan ilmu agama yang mantap tidak akan memandang konflik yang berlaku sebagai suatu perkara yang negatif dan menyelesaikannnya dengan cara yang negatif, tetapi mereka akan mendekatkan diri memohon doa dan bermunajat kepada Allah untuk memberikan hidayah dan menunjukkan jalan penyelesaian kepada masalah atau konflik yang dihadapi. Hasilnya jiwa remaja-remaja ini akan tenang dan tabah menempuh dugaan dan ujian Allah serta mereka juga bebas dari terlibat dengan penagihan dadah.

Dalam aspek pemilihan rakan pula, telah ada garis panduan yang ditetapkan dalam Islam. Bagaimana untuk memilih rakan dan kriteria-kriteria yang perlu ada sebagai seorang rakan semuanya telah termaktub dalam syariat Islam. Islam menekankan pemilihan rakan/sahabat yang baik akhlaknya. Ini kerana seorang sahabat mempunyai tanggungjawab dan hak terhadap sahabatnya di antaranya nasihat menasihati dalam perkara kebaikan, mengingatkan sahabat yang leka dan sentiasa mengajak sahabatnya mendekatkan diri kepada Allah. Oleh kerana itu, sahabat sebegini tidak akan sama sekali mengajak rakannya melakukan perkara yang dimurkai Allah seperti penagihan dadah, bahkan dia akan mengingatkan rakannya tentang dosa serta azab yang akan ditanggung sekiranya melanggar perintah Allah. Sahabat sebegini juga akan sentiasa menyeru rakannya kepada kebaikan, hanya pengaruh yang baik sahaja yang disebarkan.

Justeru Islam dilihat sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terbaik dalam menangani apa jua permasalahan kerana sifat Islam itu sendiri adalah agama universal yang selamat dengan utusan yang membawa rahmat ke seluruh alam. Pendekatan Islam yang merangkumi seluruh aspek kehidupan akan melahirkan remaja yang hebat, bukan sahaja dari sudut inteleknya tetapi juga spiritual serta moral dan akhlaknya.

No comments:

Post a Comment