Thursday, August 30, 2012

WAHAI DIRI



Wahai diri…
Ingatlah setiap masa pada Allah
Hingga terasa manis kalimah itu
Apabila berdenyut di hati sanubari

Wahai diri…..
Janganlah engkau lupa
Setiap masa dan ketika
Dirimu akan dikembalikan
Ke hadrat Tuhanmu
Sama ada engkau redha
Atau engkau tidak bersedia
Perbetulkan akal dan hatimu
Kehidupan adalah persediaan
Untuk menuju kematian
Janganlah tertipu dengan dunia

Ya Tuhan ku
Akulah pengembara
Menuju Cinta-Mu
Tanpa ragu dan jemu
Akan ku ketuk pintu rahsia-Mu
Agar tenggelam diriku dalam lautan
Wajah Mu Yang Maha Indah

Ya Tuhan ku
Akulah pengemis setiap masa
Berdiri dengan penuh harapan
Di pintu rahmat-Mu
Perjalanan yang panjang ini
Adalah suatu ujian pada ku
Sama ada langkahku pincang
Atau langkahku terisi dengan Cinta Ilahi

Alangkah sukarnya dan berliku
Perjalanan mencari hakikat diri
Nafsu dan syaitan
Akan berhemah berjuang
Merosakkan dan melalaikan
Daripada sampai ke penghujung

Engkau adalah rahsiaku
Aku adalah rahsia-Mu
Engkau berada disebalikku
Hilang wujudku nyatalah wujud-Mu
Begitulah hakikat perjalananku

Al Faqir ilalLah

Pesan guru

Trend Mendekati Zina Sebelum Bernikah

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjU82T06DI-o0IfQ_cTeFCOnUdCfNC-5_Cht1AtsnmwBYxVDuhhWViSeKI170J65HiGRLxktqYJGPiQt5bb51B2yDAN7QUOVsAKXLS8yoQAqhwBoVghmZmz_ZX2N3xvLYkCl19uwRUTPT4D/s320/tiger.jpeg
Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Aumm! Gigi-giginya menyeringai. Kuku-kukunya tajam mencengkam. Lalu apa yang terjadi? Sudah tentu ramai antara kita bertempiaran lari, menjerit, bertakbir, menyorok bawah katil, mengunci diri di dalam bilik dan ada juga yang terus terkejut pengsan.

Bayangkan pula seekor nyamuk terbang masuk ke dalam rumah kita. Nggg! Apa yang terjadi?Hmm, ia terbang bebas ke hulu hilir. Ramai yang buat tidak tahu sahaja. ‘Apalah yang perlu ditakutkan dengan seekor nyamuk,’ hati berbisik. Cuma seekor.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg3c0DLn4-H3kmjhqZWAkX1saqs1QvFxWAfr7weY0FPn0qgQXJp4D8NvZXC9P0rfOtoSRZSypzPgc_torAAw96vi-ov1Gv9dc3BgZnLSxdw10r2XYPVE-l3oIgfpjNHmCiilpfjDg8zbnsA/s320/nyamuk.jpg
Jelas, semua orang takut kepada sesuatu yang besar kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada sesuatu yang kecil. Sedangkan, jika dibandingkan nisbah orang yang mati dibaham harimau dengan orang yang mati digigit nyamuk, yang mana lebih ramai?

Bandingannya mudah. Berapa kali setahun secara anggarannya akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa Pak Belang? Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam denggi, malaria, Japanese Encephalitis, untut dan sebagainya yang semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?
Begitulah analogi yang boleh dikaikan dengan fenomena zina pada hari ini. Semua orang takut dan bencikan zina. Ia dianggap perkara besar dan berbahaya.
Namun ramai yang tidak takut pada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh. Tiada sensitive untuk menghindarinya. Akibatnya, yang kecil ini membawa kepada kemusnahan besar dalam hidup seseorang.
Tidak hairanlah Quran menyuruh supaya berawas terhadap perkara yang dianggap kecil itu. 

Firman Allah swt yang bermaksud: “Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-seburuk jalan” (Surah al-Isra’ 17:32)

Nyamuk-nyamuk Ikhtilat
SMS, panggilan telefon, dating, chatting, dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.
Apa itu ikhtilat? Ikhtilat ialah pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Dalam Islam, asal pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram, “al-asl fi al-ikhtilat haram” (asal hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram).

Namun jika atas dasar urusan kerja, maka interaksi antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Kaedah syarak tentang asal hukum muamalat adalah “al asl fi al-muamalat al-ibahah” (asal hukum berkaitan muamalat ialah harus).
Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut, “al-darurah tubihu almahzurat “ yang bermaksud darurat membolehkan apa-apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.
Namun, keharusan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya, sebaliknya ada adab, akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak yang lain menyebut, darurat diukur dengan kadarnya.
Masalahnya, ramai orang yang beralasankan “urusan” untuk menghalalkan ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram) terlarang. Panggilan telefon, SMS, dating, dan chatting tanpa urusan kian membarah sebagai budaya. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “urusan”?
Urusan adalah sesuatu yang apabila dibentangkan di hadapan Allah swt, kita yakin kita mampu menjawab dan berhujah bahawa ia adalah urusan maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was was sama ada ia suatu urusan atau tidak, berawaslah. 

Daripada al-Nawwas bin Sam’an ra, bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Kebajikan itu ialah keelokkan budi pekerti dan dosa itu adalah apa yang bergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya.” (Riwayat Muslim)


Cinta Fitnah
Cinta asalnya suci dan bersih boleh tercemar apabila disalurkan kepada jalan-jalan yang mendekati zina. Berkata Prof. Syeikh Yusof al-Qardawi apabila ditanya tentang cinta sebelum bernikah: “Saya ingin tegaskan apa yang sering dikatakan. Saya tidak menyetujui apa yang dilaungkan segolongan orang yang tentang pentingnya bercinta sebelum berkahwin kerana cara itu dikhuatiri mengundang bahaya dan terjebak dalam syubhat.”. Kata beliau lagi; “ berapa orang mula bercinta dengan cara yang tidak benar seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia. Ia sering kali dilakukan oleh anak-anak muda ketika waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri, dan ini biasa berlaku dalam rumah tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik si remaja mahupun ibubapanya. Awalnya memang cuba-cuba tetapi akhirnya ketagihan. Awalnya sekadar suka-suka akhirnya serius.”

Menghampiri zina semakin menjadi trend atau budaya muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasululullah saw telah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud. “Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuat kamu buta dan tuli.” (Riwayat Ahmad)
Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang “berat-berat” terus. Ia biasanya dimulai dengan yang “ringan-ringan” dahulu atau apa yang disebut sebagai menghampiri zina. 

Ingatlah pesan Nabi saw ini;
“Mata itu berzina dan zinanya adalah dengan memandang (tanpa keperluan). Lisan berzina dan zinanya adalah dengan bercakap (yang sia-sia, lucah, mendayu-dayu, dan lain-lain). Kaki itu berzina dan zinanya adalah dengan melangkah (untuk maksiat). Tangan itu berzina dan zinanya adalah dengan menyentuh dan memeluk (untuk maksiat). Hati itu berkeinginan dan berangan-angan. Faraj yang kemudian membenarkan atau mendustakannya. (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud

 

Tazkirah 4 Julai 2012(Rabu) Ust Mohd Badaruddin Omar




HATI TEMPAT PANDANGAN ALLAH

Rasulullah Sallahualaihi wasallam bersabda :
”Dalam diri anak Adam ada seketul daging,jika baik,baiklah seluruhnya dan jika ia jahat,jahatlah seluruh anggotanya,ketahuilah ia adalah HATI”

Hati ibarat sumber segala sesuatu,ianya adalah tempat yang akan dinilai Allah swt di sebalik amal-amal kebaikan atau keburukan seseorang hamba.
Allah mencintai hati yang bersih,hati yang sentiasa merendah diri,hati yang ikhlas,hati yang gementar,hati yang cinta,hati yang sentiasa yang mengharapkan keampunan dan pengharapan.Nilai manusia terletak pada apa yang dilakukannya tetapi nilai Allah terletak pada apa yang tersembunyi dalam hati.
Ada orang melakukan kerja begitu hebat di sisi manusia.Ke mana saja ia pergi,nama dan amalnya atau kejayaannya sentiasa menjadi sebutan manusia.Tetapi di sisi Allah swt,segalanya tiada nilai malah ia mungkin lebih hina dari binatang kerana tiada keikhlasan dalam amalnya.Ada manusia yang amalnya sedikit atau kecil,tiada manusia yang memandangnya tetapi nilainya tinggi di sisi Allah swt disebutkan keiklasannya.
Di akhirat nanti ,seluruh manusia akan berhadapan dengan Allah swt sama ada ia ulama,para syahid,para hafiz,para ahli ibadah,para dermawan dan sebagainya untuk diperiksa hati mereka.Demi Allah,amat jahil dan butalah seseorang itu jika ia menganggap persoalan hati adalah perkara kecil,sedangkan di akhirat nanti ia adalah perkara yang utama yang menjadi nilaian Allah swt.
Syirik atau menduakan Allah swt dalam bekerja adalah melambangkan tiada adab ia dengan Allah swt,melambangkan tiada bersih hatinya.Mereka yang tiada ilmu dalam perjalanan nafsunya amat mudah tertipu.
Ramai manusia yang beribadah tetapi ibadahnya itu menyebabkan ia jauh dari Tuhan apabila ibadahnya dimasuki penyakit ujub,takabur atau riak.Ramai yang menasihati manusia kepada kebaikan tetapi malangnya ia menjadi manusia yang amat dimurkai Tuhan kerana ia sendiri tidak melakukan apa yang dia cakapkan.Ramai orang yang diberi kekayaan dan menyangka ia adalah nikmat padahal ia adalah istidraj untuk memusnahkan dirinya apabila harta tadi melalaikan ia dengan Allah swt.banyaknya ibadah dan amal bukannya menjadi nilai lagi di sisi Allahswt,tapi keikhlasanlah ukuran utama.  Wallahu’alam

Godaan Jalan KeTuhanan

Wahai diriku,
Setelah dirimu mempunyai ilmu, dirimu telah benar-benar bertaubat, kini dirimu berdiri dipintu rahmatNya dengan penuh kefakiran, tiada lagi memalingkan dirimu ke belakang. Namun kamu akan menempuh dalam perjalananmu itu dengan tipudaya atau dugaan. Ramai yang tersungkur kerana godaannya, ia tidak mudah melepaskan dirimu dari ikatannya. Imam Al-Ghazali dalam kitab Minhajul Abidin membahagikan godaan ini kepada empat bahagian dan tiada dikatakan seorang yang benar dalam perhambaannya melainkan jika mereka bebas dari hal-hal ini :


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhic1QrMdq6c4QTdkiKGlUDapqTO8cev0q2nX8M7ocITcZLDt0uCTJ4TpbENtT_J96kipuvEzm7YYtZANPLGRlXMnVh5QgAcfHEOYrITzuVdkw8F6zRNfRa1BbZlzBJPmXZTfnbxxvoqN21/s320/world.jpg1. Dunia

Godaan dunia adalah amat indah, ia menyebabkan pencintanya seolah diulit mimpi (hidup) kekal abadi. Mereka lupa hakikat diri mereka, mereka lupa tanggungjawab mereka, mereka lupa ia hanyalah tempat sementara. Kehidupan dunia bagaikan permainan sebagaimana yang difirmankan Allah SWT :

“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, dan perhiasan...
(Al-Hadid : 20)

Dunia ini hanyalah satu permainan cahaya semata-mata.

Mencintai dunia adalah bagaikan racun yang akan merebakkan penyakit-penyakit yang lain. Dari cinta dunia akan lahirnya penyakit hati yang buruk seperti takbur, riak, dengki, khianat, dendam, takutkan mati, panjang angan-angan, tidak redha dengan takdir Allah, tidak tenang dan keras hatinya untuk beribadah pada Allah swt. Bukan senang untuk menghilangkan kasih dunia kerana dunia telah menghiasi dirinya dengan penuh keindahan sehingga dicintai dan sukar bagi mereka yang terperangkap pada jeratnya untuk melepaskan diri.

Mereka tidak mahu menuju akhirat, mereka amat takut dengan (usia) tua dan kematian. Kematian memisahkan mereka dengan kekasih mereka sedangkan mereka mengetahui bahawa apa yang dicintainya adalah sementara dan palsu, namun hati mereka telah terpukau oleh sihir dunia. Hati mereka tidak terliur lagi pada alam akhirat yang lebih indah dan kekal yang dijanjikan Allah swt.

Mencintai dunia menjadikan mereka buta hati, hilang kecerdikan, hilang pedoman dan yang paling bahaya hilang keimanan yang menyebabkan mereka tidak sedar dalam kemurkaan Allah swt setiap nafas mereka di dunia. Hilanglah keberkatan hidup mereka, cahaya hati dan wajah terpadam, mereka sudah terkena bahan kepanasan api neraka menyebabkan hidup mereka tidak tenteram dan gelisah.


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgxtQRAMHPfmgTJkfxO1EAvEEtgUbCzygn5a5sh1Qf6C_KO3stN-gGtSp_MGzh-UXj48M20Hb_dYsAg-W3jkTKdYQ-qJsW03XsE1IJPp5EaAM6AluR1jmo6-GIsW7KLeGRWfHK1H15nllIs/s320/human.jpg2. Makhluk

Makhluk ialah mereka yang memalingkan dirimu dengan Allah baik dari segi perkataan atau perbuatan. Godaan mereka amat kuat kerana pergaulan dengan mereka akan menjadikan dirimu lemah dalam menuju Allah. Mereka menasihatimu supaya berpada dengan akhirat, banyak berfikir tentang masalah dunia, membicarakan kesukaan nafsu dan cara hidup mereka yang jauh dari hakikat Islam. Kalau di zaman Imam Al-Ghazali sudah dianjurkan "uzlah" (menyendiri) apalagi di zaman ini yang mana perkara mungkar dianggap maaruf dan perkara maaruf dianggap mungkar. Bergaul dengan ahli dunia mematikan hati. Inilah yang dipesan Nabi Isa a.s. supaya menjauhi orang yang ‘mati’ iaitu ahli dunia.

Mereka menumpukan seluruh pemikiran, hati dan tenaga untuk dunia. Mereka mencintai kemasyhuran, mencari pujian, takbur dan riak dengan kekayaan atau pangkat, bergaul dikalangan orang-orang kaya, memandang rendah orang miskin, tidak peduli halal haram untuk mencapai cita-cita, bercakap lucah, mengumpat, mengeji, menfitnah dan dusta. Mereka juga mencintai hiburan melampau, memuja artis dan menjauhi ahli agama. Mereka hidup bagaikan menongkat langit, perbicaraan mereka hanya berkisar harta, pangkat , wanita, lelaki, anak-anak, kenderaan, perhiasan dan amat lemah pada akhirat. Mereka hidup penuh dengan kegelisahan, hati yang gundah dan sentiasa dihantui pelbagai masalah. Bersahabat dengan mereka bagaikan membakar hati yang baru berjinak menuju pada Allah. Godaan makhluk ini adalah terdiri daripada orang yang hampir namun jika kamu mempunyai kekuatan, bergaul dengan mereka untuk menyedarkan mereka terhadap akhirat adalah amat afdhal .


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiiFbnFhO0IYnaZx6OrPqi-GXpYdyqwAVcrWWH_U77vhHe1KTsTydaveDn0_OT6SjKUT8qjEdHjSYEDZ-fPC4rjNUPLm9Sqxrsec3vqp7PSXGwJtbjZDfg7s2cq1m42r1jC4kzpnPTkqCvZ/s320/syaitan.jpg3. Syaitan

Syaitan adalah musuh yang ghaib dan musuhnya yang besar ialah manusia yang mahu menuju Allah SWT. Ramai orang yang tidak menyedari mereka diserang oleh syaitan sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan dan huru hara dalam hidupnya. Mereka yang tenang adalah musuhnya, ketenangan menyebabkan manusia itu dapat berfikir secara rasional dan dapat menumpukan hati pada Allah. Ia akan menggoncangkan ketenangan dengan pelbagai cara, ia mendatangkan kebencian dikalangan ahli keluarga, membisikkan prasangka yang buruk antara mukmin, menyuburkan nafsu ammarah seperti dengki, dendam dan fitnah. Menanamkan sifat jemu dan malas dalam ibadah atau pekerjaan. Amat bahaya jika manusia itu tidak berwaspada dari musuh yang ghaib ini dengan banyak memohon keselamatan dari Allah SWT.

Wajib memerangi dan mengalahkan syaitan. Hal itu disebabkan dua perkara :

Pertamanya, kerana syaitan itu musuh yang nyata-nyata menyesatkan, tidak boleh diharapkan adanya kebaikan dari syaitan dan tidak boleh diharapkan perdamaian, bahkan kepuasan mereka itu ialah membinasakanmu.

Oleh itu tidak ada alasan untuk merasa aman dari musuh yang seperti itu dan tidak bijak untuk dilupakan. Perhatikan dua isyarat firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud :

“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!” (Yasin : 60)

“Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.” (Al-Faatir : 6)

Kedua, sebab engkau harus memusuhi syaitan itu ialah kerana syaitan sudah menjadi tabiatnya dilahirkan untuk memusuhi kamu, dan mereka selalu siap untuk memerangi kamu, siang-malam terus menerus melemparimu dengan senjata-senjatanya, sedangkan engkau tidak sedar dan lalai daripadanya, maka apalah jadinya nanti.

Benar sekali apa yang yang dikatakan oleh Sayyidina Yahya bin Muad’dz Arrozy :
“Syaitan itu pengganggur, penuh waktunya untuk menjalankan rencananya, sedangkan engkau terus sibuk dan syaitan melihatmu, tetapi engkau tidak melihatnya, engkau lupa kepada syaitan, tapi syaitan selalu ingat kepadamu, dan untuk mengalahkanmu syaitan banyak pembantunya.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhNvOK_-RgT0mP9UajP5xWuL84Vtq3LtstG9fwOhcCoTX8-kVtyq5hJzb_s6QTKPWfbj9atRP0FrPQTuCT6IHMoP9yiyieRdopauhOlDd7niF_oKKu1lJTOdr8a4rM9UzVuT8vTXqBR9kgb/s320/darah+dlm+tubuh.jpg4.Nafsu

Hawa Nafsu adalah musuh yang paling rapat dengan kita kerana ia digunakan untuk makan,minum,tidur,bekerja,bersosial dan sebagainya. Tanpa nafsu kita seperti tunggul kayu yang tiada apa-apa perasaan. Di manakah kejahatan nafsu? Dia jahat bila bilamana ia memuaskan nafsu secara berlebih-lebihan sehingga badan untuk beribadat akan menjadi lemah dan tidak bermaya. Hidup kita seperti binatang jika hanya nafsu menjadi matlamat kehidupan. Siang dan malam kita bekerja dan berkorban hanyalah untuk mengenyangkan dan mengemukkan nafsu. Kerja seperti ini akan menyebabkan diri kita malas untuk beribadat seperti solat, berzikir, tahajud, berjihad atau berdakwah. Syariat Allah diwajibkan ke atas kita adalah untuk mengengkang nafsu daripada bersifat seperti binatang yang tidak mengetahui halal dan haram. Siapa yang mengisytiharkan perang ke atas nafsunya maka tunggulah penderitaan dan ujiannya...kurang makan, kurang tidur, kurang bercakap, kurang bersyahwat adalah kesukaan nafsu?

Ya Allah, Ya Rahman, peliharalah diriku daripada bahaya 4 godaan ini....agar diriku mudah untuk salik kepada -Mu..amin

Petua Imam Ghazali Mencari Lailatul Qadar




Dalam kita sibuk menjalani ibadah puasa, jangan kita lupa bahawa terdapat satu malam yang sedang menanti kita. Malam itu adalah malam lailatul qadar yang mana ia adalah lebih baik dari 1000 bulan. Petua Imam Ghazali Mencari Lailatul Qadar  Dalam mengerjakan ibadat dalam bulan ramadhan, sudah tentunya kita akan sentiasa tertunggu-tunggu 10 malam yang terakhir. Itulah malam yang mana ia berlaku pada satu malam daripada 10 malam terakhir iaitu hari ganjil bulan ramadhan. Adakah malam lailatul qadar ini jatuh pada 21, 23, 25, 27 atau 29 ramadhan tahun ini? Hanya orang yang berusaha sahaja akan merasai nikmat beribadat di malam lailatul qadar. Terdapat petua oleh Imam Ghazali dan lain-lain ulama untuk cari mencari malam Lailatul Qadar.

http://melayukini.net/wp-content/uploads/2012/08/lailatul-qadar.png

Jika awal ramadhan jatuh pada hari:
1) Ahad atau rabu malam qadar dijangka berlaku pada malam 29 ramadhan
2) Isnin – malam qadar dijangka berlaku pada malam 21 ramadhan;
3) Selasa atau jumaat – malam qadar dijangka berlaku pada malam 27 ramadhan;
4) Khamis- malam qadar dijangka berlaku pada malam 25 ramadhan;
5) Sabtu- malam qadar dijangka berlaku pada malam 23 ramadhan
Kata sheikh Abu Hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan lailatul qadar pada malam yang tepat mengikut petua diatas. Walau bagaimanapun, janganlah ibadat pada malam ini sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga.

Tanda malam qadar ialah :
  • Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
  • Siangnya cahaya matahari warnanya pucat;
  • Pada malam itu malaikat jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.
Duhai saudaraku- Marilah kita beramai-ramai memeriahkan suasana 10 malam terakhir ramadhan dengan beribadat kepada  Allah SWT dengan ikhlas dan penuh keimanan, mudah-mudahan kita dapat kurniaan Allah yang kelebihannya pahalanya melebihi  1000 bulan atau 83 tahun umur kita. Teringat ketika waktu sekolah dahulu, sentiasa tertungu-tunggu bilakah malam lailatul qadar tiba