Saturday, December 25, 2010

Capitalism

Kemajuan ekonomi sesebuah Negara menjadi indicator pembangunan dan kehebatan sesebuah Negara. Oleh kerana itu, setiap Negara mencari inisiatif dan berdaya saing yang tinggi untuk menjadikan Negara yang didiami sebagai sebuah negara maju. Malahan Negara-negara maju juga semakin giat meningkatkan usaha dan mencuba berbagai-bagai cara menjana minda kreatif dan berinovasi untuk memastikan Negara mereka tetap unggul dan mendepani Negara lain dalam menempuh globalisasi dunia. Kemajuan dunia globalisasi sering dikaitkan dengan sistem ekonomi kapitalis.

Istilah kapitalis berasal dari perkataan “capital” yang membawa maksud modal. Ilmu ekonomi berdasarkan ideology Kapitalisme yang dipelopori oleh Adam Smith ditakrifkan sebagai ilmu yang memfokuskan pencapaian materialistic dan keuntungan yang menghasilkan pengumpulan kekayaan (Hussein Salamon,2006). Konsep ekonomi kapitalis ini diperkenalkan oleh beliau dalam bukunya “Wealth Of Nations” Selain itu, kapitalisme juga ditakrifkan sebagai sistem yang memberi kebebasan kepada individu untuk mengumpul dan mengembangkan hartanya ( Harris, William H. and Judith S.L, 1975) Secara umumnya Syeikh yusuf al-qardhawi menyatakan bahawa kapitalisme dpt difahami sebagai suatu sistem yang memberikan kebebasan mutlak kepada individu untuk mengumpul kekayaan tanpa syarat. Melalui sistem ini seseorang berhak mengembangkan serta menjana kekayaan sebanyak mungkin walaupun dengan melakukan penindasan terhadap orang lain. Oleh itu, sistem kapitalis menyumbang kepada implikasi yang buruk seperti sifat tamak dan ghairah dalam mengumpul harta kekayaan serta memungkinkan timbulnya kebencian terhadap agama.

Ciri-ciri sistem kapitalisme paling jelas dapat dilihat melalui sistem perbankan konvensional yang mengamalkan konsep riba. Perkara yang sama juga berlaku dalam pemasaran dan penghasilan barangan yang dijana di bawah sistem ekonomi kapitalis. Penguasaan dalam bidang politik dan ekonomi bergantung kepada pemilikan modal individu. Semakin besarnya penguasaan modal seseorang dalam masyarakat, menjadikannya semakin berkuasa (Sulaiman Nordin, 1995). Justeru, monopoli menjadi amalan mereka. Ini akhirnya akan menindas pesaing lain yang lebih kecil penguasaan modal dan mewujudkan jurang perbezaan pendapat yang sangat jauh. Kapitalis juga melihat kemajuan sebagai suatu usaha mengaut keuntungan untuk kepentingan diri sendiri tanpa campur tangan dari kerajaan (Ahmad shukri Mohd Nain, Rosman Md Yusoff).

Kapitalis berpendapat bahawa sistem yang didokong mereka adalah sangat baik berdasarkan kepada kaedah pemilikan asset yang menjadi hak milik mutlak individu, pasaran bebas yang menjadi amalan aktiviti ekonominya dan dasar perlaksanaan ekonomi yang mengutamakan keuntungan maksimum dengan meminimumkan kos pengeluaran (Ahmad shukri Mohd Nain, Rosman Md Yusoff).

Walau bagaimanapun, wujud beberapa kritikan terhadap kapitalisme. Di antaranya ialah pemisahan yang jelas di antara aspek material dan moral atau kerohanian. Kapitalis ghairah mengaut keuntungan tanpa mempedulikan kebajikan masyarakat, sikap individualistic menebal dalam kalangan kapitalis. Apa yang penting kepada mereka ialah memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan kos. Selain itu, sistem kapitalisme juga menyebabkan ketidaksembangan dalam pengagihan sumber kekayaan. (Hussein Salamon,2006) Hanya sebahagian kecil masyarakat sahaja yang maju sedangkan sebahagian besar yang lain ditindas. Monopoli perniagaan menindas masyarakat, akibatnya yang kaya semakin kaya manakala yang miskin terus menderita tanpa pembelaan dari sesiapa. Sistem ini hanya membahagikan masyarakat kepada dua golongan sahaja iaitu golongan kaya dan golongan fakir ( Abul a’la al-maududi, 1984) Kritikan terhadap ideology kapitalisme ini kemudian melahirkan ideology sosialisme dan komunisme. Walau bagaimanapun kedua-dua sistem ini bukanlah alternative terbaik untuk menggantikan sistem kapitalisme.

Sebagai kesimpulannya, tiada sistem ekonomi yang lebih baik dan adil selain sistem ekonomi Islam. Pengharaman terhadap penindasan, monopoli, riba, penipuan dan semua perkara lain yang bercanggah dengan nilai akhlak dan maslahah masyarakat umum menjadi dasar perjuangan kepada sistem ekonomi yang sejagat ini (al-Qardhawi Yusuf).

No comments:

Post a Comment