Salam Maulidur Rasul bt semua para pembaca budiman..
Dalam beberapa jam sahaja lagi kita semua bakal menyambut 12 Rabi'ul Awwal, hari mulia lahirnya junjungan besar Muhammad SAW rahmatan lil 'alamin.. Seorang Insan terpilih berperibadi agung seindah akhlak al-Quranul karim. Insan kekasih Allah..yang dikurniakan kehebatan dan kesabaran yang tinggi tiada tandingan. kasihnya terhadap ummatnya sehingga akhir hayat Baginda. Selayaknya segala pujian, selawat dan salam ke atas Baginda atas segala jerih payah, pengorbanan dan kasih sayangnya kepada kita semua.
Dari Anas r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi seorang yang dikasihi olehnya lebih daripada ibu bapanya, anak pinaknya, dan manusia seluruhnya."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ayuh..semarakkan cinta kepada Baginda Rasulullah SAW setiap masa, bukan hanya sekali sekala dan bukan juga bermusim...bersama kita berusaha mengamalkan perkara berikut;
1. Menjunjung agama Nabi, mengamalkan Sunnahnya, sedaya upaya mengikuti perkataan dan perbuatannya dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya, mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah SAW dalam setiap keadaan (ketika susah dan senang, ketika gembira dan sedih)
Firman Allah SWT:
“Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika benar
kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi
kamu.” (ali ‘Imran: 31)
2. Sentiasa menyebut dan mengingati Baginda. Mengaitkan setiap apa yang dilihat dan di alami dengan iktibar dari sirah Rasulullah.Membuktikan kecintaan kepadanya dengan sentiasa berselawat kepadanya.
Sabda Baginda SAW;
“Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (Ibn Mas’ud r.a)
3. Mengasihi orang yang dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya nasab
keturunannya dari kalangan ahlil bait dan sahabat-sahabatnya.
4. Mengasihi al-Quran sebagai mukjizat Agung Rasulullah SAW yang
dengannya manusia mendapat petunjuk. Berusaha sedaya upaya untuk menjiwai al-Quran dan berakhlak dengannya seperti yang
ditegaskan oleh Ummul Mukminin, Aisyah r.ha dalam katanya,
“Akhlak
Baginda SAW adalah al- Quran itu sendiri”.
5. Berasa kasih dan kasihan belas terhadap umatnya dengan memberi nasihat, berusaha melakukan kebaikan dan menghapuskan kemudaratan
daripada mereka. Berusaha sedaya upaya mencegah kemungkaran sama ada dengan tangan, lidah mahupun hati. Seiringkan juga dengan doa agar insan-insan ini dikurniakan hidayah oleh Allah serta ditambahkan hidayah kepada kita dan zuriat keturunan seluruhnya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa antara kamu yang melihat
sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangan
(kekuasaan), jikalau tidak berkuasa hendaklah dicegah dengan lisan,
jikalau tidak berkuasa juga hendaklah dicegah dengan hatinya (membenci
kemungkaran itu), dan ini adalah selemah-lemah iman.”
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan orang yang beriman, lelaki dan
perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain,
mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat
kejahatan, dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat
kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah;
sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah, 71)
Akhir kalam, ayuh tanamkan kecintaan kita kepada Baginda SAW dan semarakkan cinta itu selamanya dalam diri. Mudah-mudahan kita semua beroleh syafaat di akhirat nanti. Nahnu nuhibbuka ya Rasulullah..
Sebagai penutup, sama-sama kita alunkan selawat ke atas Baginda SAW,
Wallahu 'alam.
No comments:
Post a Comment