Menyingkap kisah isra' dan mi'raj di dalam al-Quran, dapat diteliti dari surah al-isra' ayat 1 yang terjemahannya sebagaimana berikut:
"Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."
Peristiwa besar ini berlaku ketika Baginda SAW sedang tidur di hijir Ismail berdekatan Kaabah bersama-sama dengan bapa saudaranya Hamzah dan Jaafar bin Abi Talib. Riwayat lain menyebut bahawa ketika baginda Saw sedang tidur di rumah Ummu Hani' binti Abi Talib.
Setelah malaikat jibril, mikail dan lain-lain membelah dada dan menyucikan jiwa baginda SAW. Baginda kemudiannya dipersilakan untuk menaiki buraq. Sifat buraq ini ada dinyatakan Baginda Saw dalam sebuah hadis Muslim yang bermaksud:
"Telah didatangkan kepadaku seekor buraq iaitu seekor binatang yang putih warnanya, lebih tinggi dari keldai, rendah sedikit dari baghal dan kakinya melangkah sekilas mata memandang".
Beberapa kejadian aneh telah disaksikan oleh Rasulullah SAW disepanjang perjalanan (berburaq) Isra'nya sebagaimana berikut:
1) Rasulullah SAW dikejar 'Afrit dengan membawa jamung sehingga menggerunkan baginda SAW, setelah membaca beberapa ayat yang diajar oleh Jibril, 'Afrit tersungkur ke bumi dan padamlah jamung yang dibawanya. Bermaksud; suatu pengajaran fbagi seorang yang berjuang di jalan Allah selalunya akan menghadapi rintangan bagi menggagalkan usaha sucinya tu. Tetapi semangat gigih, sabar dan tabah akan membuahkan kejayaan untuk mengatasi segalanya.
2) Rasulullah SAW bertemu sekumpulan petani sedang menanam padi, sejurus itu dapat menuai buahnya kemudian pokok yang sudah dituai mengeluarkan buahnya lagi, demikianlah seterusnya..Ini merupakan gambaran ummat Muhammad SAW yang suka membelanjakan hartaya pada jalan Allah akan diberi pahalan 700 kali ganda.
3) Rasulullah terbau bauan yang harum semerbak - keharuman Mashitah dan keluarganya yang rela menerima hukuman mati dengan terjun ke dalam kawah yang sdang mendidih airnya,daripada menurut kemahuan Fir'aun yang memaksa supaya mengakui dirinya tuhan. Pengajarannya ; seorang yang rela berkorban semat-mata kerana yakin dengan kebenaran Agama Allah tetap akan menerima penghormatan disisi Allah dan harum namanya pada pandangan masyarakat.
4) Rasulullah melihat segolongan manusia yang sedang menghantukkan kepala ke batu hingga pecah dan berdarah. Gambaran umat Muhammad SAW yang suka menangguh-nangguhkan solat dan menunaikannya dalam keadaan yang berat dan malas.
5) Rasulullah melihat sekumpulan manusia berbogel, bercampur gaul lelaki perempuan, kotor dan hina, merayau-rayau ke sana ke mari seperti unta dan kambing. Mereka makan kayu-kayu berduri, barang-barang busuk dan batu-batu daripada api neraka. Gambaran keadaannya orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana bakhil dan sayangkan harta benda mereka.
6) Rasulullah SAW melihat segolongan orang yang sedang makan daging mentah dan busuk pada hal disisinya ada daging yang baik, bersih dan sudah dimasak. Menggambarkan keadaan umat Muhammad SAW yang melakukan zina pada hal mereka sudah ada isteri atau suami yang sah.
7) Rasulullah Saw menemui ranting-ranting berduri merintangi jalan sehingga menyusahkan orang ramai untuk menggunakan jalan tersebut. Gambaran orang berusaha menghalang kebajikan dan tidak senang melihat melihat kemajuan orang lain.
8) Rasulullah SAW melihat orang yang berenang dalam sungai darah smbil menelan batu neraka yang dicampk kepada mereka. Itulah gambaran orang yang makan riba.
9) Rasulullah SAW melihat seorang memikul beban kayu, semakin berat beban itu semakin ditambahny lagi, begitulah seterusnya. Gambaran orang yang tidak berupaya menanggung tugas yang diamanahkan kepadanya tetapi mahu juga menerimanya seingga membebankan dirinya sendiri.
10) Rasulullah melihat orang yag menggunting bibir dan lidahnya sendiri kemudian bertangkup semula dan mengguntingnya lagi, begitulah seterusnya. Gambaran orang yang suka menasihati orang lain supaya melakukan perbuatan baik dan amal kebajikan sedang mereka sendiri tidak melakukannya.
11) Rasulullah melihat orang yang mencakar muka dan dadanya sendiri dengan kuku yang panjang daripada tembaga sehingga carik kulitnya dan keluar darah. Gambaran orang yang suka mengumpat, membicara keaiban orang lain hingga menjatuhkan maruah dan nama baik orang itu.
12) Rasulullah melihat lembu jantan yang keluar dar lubang batu yang sangat sempit kemudian cuba hendak masuk kembali tetapi tidak dapat. Gambaran orang yang suka bercakap besar kemudian menyesal atas pekerjaannya itu tetapi tidak dapat menarik semula kata-katanya itu.
13) Rasulullh melihat perempuan berpekik dan menjerit-jerit kesakitan kerana buah dadanya dicucuk dengan besi yang tajam dan digantung ke atas seperti menggantung daging. Gambaran perempuan yang melakukan perbuatan jahat (zina) sedang ia sudah bersuami.
14) Rasulullah bertemu dengan perempuan muda yang bergaya, menunjukkan perhiasan dan kecantikan diri sambil menyeru Rasulullah supaya berhenti sebentar untuk bertanya sesuatu, tetapi baginda tidak mempedulikannya. Gambaran kehidupan duniayang mempesonakan manusia. sekiranya Rasulullah melayan permintaan perempuan tersebut, maka ramailah umatnya yang akan mengutamakn dunia daripada akhirat.
15) Rasulullah bertemu pula dengan perempuan yang sudah lanjut usia berjalan terbongkok-bongkok sambil menyeru Rasulullah: Lihatlah aku, tunggu sebentar, aku hendak bertanya sesuatu. Rasulullah SAW meneruskan perjalanannya tanpa menghiraukan seruan perempuan tersebut. Gambaran bahawa umur dunia sudahpun lanjut dan tidak sedikit sahaja lagi.
16) Rasulullah SAW melihat seorang tua duduk jauh dari jalan sambil menyeru Rasulullah supaya datang kepadanya, tetap Jibrail mengingatkan kepada Rasulullah supaya jangan mempedulikan seruan itu. Itu lah iblis laknatuLLAH yang bermaksud hendak menghasut Rasulullah SAW.
17) Rasulullah terdengar suatu suara memanggilnya atang dari arah kanan tetapi baginda tidak menyahut panggilan itu. Itulah seruan yahudi dan jika Rasulullah menyahutnya maka ramailah umatnya yang kan menjadi penganut yahudi.
18) Rasulullah terdengar pula suara panggilan yang datang dari arah kiri tetapi baginda tidak menyahut panggilan itu. Itu lah seruan nasrani dan sekiranya Rasulullah SAW menyahutnya nescaya akan ramailah umatnya yang menjadi penganut Nasrani.
Setelah selesai Isra', Rasulullah SAW dibawa mi'raj ke langit untuk mengadap Allah dan menerima perintah sembahyang yang diwajibkan ke atas seluruh umat islam. Dalam perjalanan ke sidratul muntaha, baginda melalui 7 lapisan langit dan menemui beberapa orang Rasul. Seterusnya baginda SAW dibawa ke sidratul muntaha dan disana Jibrail menghidangkan kepadanya tiga gelas berisi arak, susu dan madu. gelas berisi susu menjadi pilihan nabi SAW dan berkatalah Jibrail: benarlah engkau wahai Muhammad, itulah lambang kesucianmu:' Ketika di sidratul muntaha ini lah baginda SAW melihat wajah sebenar Jibrail as. Setelah menyaksikan keindahan al-kauthar, Rasulullah dibawa melihat syurga dan neraka seterusnya baginda SAW diangkat ke 'Arasy untuk menerima perintah solat.
Semoga ringkasan kisah isra' dan mi'raj ini menjadi iktibar dan pedoman untuk menginsafi diri kita yang tidak lebih dari hanya seorang hamba Allah yang lemah dan seringkali diuji. Juga semoga ketabahan dan kesabaran baginda SAW menjadi contoh buat kita meneruskan perjuangan menegakkan agama Allah SWT.
Wallahu 'alam..